Tuesday, August 25, 2009

Raja-Raja



Majlis Raja-Raja

Majlis Raja-Raja merupakan sebuah badan rasmi yang ditubuhkan mengikut Perkara 38 Perlembagaan Persekutuan Malaysia sebagai tempat bagi Raja-Raja dan Yang di-Pertua - Yang di-Pertua Negeri bertemu dan berbincang. Dalam beberapa perkara yang tertentu, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kerajaan supaya memperolehi nasihat daripada Majlis Raja-Raja. Urusan pemilihan dan perlantikan Yang di-Pertuan Agong juga terletak pada Majlis Raja-Raja. Selain itu, majlis ini merupakan kuasa tertinggi dalam hal ehwal Islam di Malaysia.

Majlis ini dianggotai oleh semua sembilan Raja Melayu dan empat Yang di-Pertuan Negeri di Malaysia. Mengikut peraturan hanya Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Raja-Raja sahaja yang layak mempengerusikan mesyuarat dan ia dipengerusikan mengikut giliran yang ada dalam susunan sebagaimana yang ditetapkan oleh Majlis. YAB Menteri Besar / Ketua Menteri hadir sebagai penasihat kepada DYMM Raja-Raja dan TYT Yang di-Pertua - Yang di-Pertua Negeri masing-masing. Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong hanya berangkat hadir pada mesyuarat hari kedua dengan diiringi oleh YAB Perdana Menteri sebagai penasihat. Ini menjadikan mesyuarat ini sebagai mesyuarat ‘tertinggi’ di Malaysia. Walau bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong biasanya hanya hadir jika mesyuarat tersebut akan melantik Yang di-Pertuan Agong atau Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang seterusnya atau ia membincangkan polisi negara.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dilantik sebagai setiausaha Majlis Mesyuarat Raja-Raja.


Wasiat Raja-raja Melayu

Wasiat Raja-raja Melayu merujuk kepada 7 wasiat yang disampaikan semasa Raja-Raja Melayu semasa menurunkan tandatangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957 .

7 wasiat :

  1. Kami namakan dan kami panggil dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung PERSEKUTUAN TANAH MELAYU (sekarang dikenali dengan nama Malaysia);
  2. Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-gunung, tasik dan hutan simpan, TANAH SIMPANAN MELAYU sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain;
  3. Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kamu serta harta hak milik kamu, kami tubuhkan REJIMEN ASKAR MELAYU selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara;
  4. Kami kekalkan dan kami jamin Kerajaan dan Kedaulatan RAJA-RAJA MELAYU memerintah negara ini;
  5. Kami isytiharkan ISLAM adalah Agama Persekutuan;
  6. Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah BAHASA MELAYU;
  7. Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi KEDUDUKAN ISTIMEWA ORANG MELAYU dan KEPENTINGAN SAH KAUM-KAUM LAIN. (Kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).



No comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin